KANGAR: Perlis bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) ke-67 yang dijadual berlangsung di Dewan 2020, di sini pada 27 April hingga 2 Mei depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pemilihan negeri ini bagi penganjuran program tersebut adalah merupakan satu penghormatan besar dan bukti komitmen dalam menjayakan agenda syiar Islam.
Beliau berkata, penganjuran MTHQK pada tahun ini juga adalah istimewa kerana dianjurkan bersempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Perasmian MTHQK 2025 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pula disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran MTHQK ke-67 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail.
Mohd Na’im berkata, MTHQK pada tahun ini melibatkan penyertaan 109 peserta dari seluruh negeri membabitkan pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran.
Katanya, semua peserta adalah berusia lingkungan 14 hingga 58 tahun dan seramai 26 orang hakim akan turut sama terlibat bagi mengadili pertandingan ini.
“Johan peserta MTHQK tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 2 hingga 9 Ogos depan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pada penganjuran tahun ini, MTHQK juga akan melaksanakan Peraturan dan Penghakiman Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (Pindaan 2024) yang bertujuan untuk mempertingkatkan kompetensi peserta dan mengukuhkan prestij acara ini.
Katanya, peraturan baharu itu turut mengadaptasi pendekatan dan strategi yang selaras dengan aspirasi penghakiman di peringkat antarabangsa dalam meningkatkan keupayaan serta daya saing wakil negara di peringkat global.
“Antara aspek yang dikemas kini dalam peraturan baharu ini ialah pelaksanaan majlis, syarat-syarat penyertaan, kaedah penghakiman dan kaedah pengiraan markah,” katanya. – UTUSAN