PETALING JAYA: Usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkasakan menerusi pemeteraian Surat Niat (Letter of Intent-LOI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan dua pemerintah wilayah Indonesia iaitu Jakarta serta Sumatera Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis pertukaran LOI tersebut merupakan langkah penting mencerminkan komitmen bersama dalam bidang pendidikan serta menjadi lonjakan strategik ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
“Kerjasama ini memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi pelaksanaan program penyelidikan bersama, mobiliti pelajar, pemindahan kredit serta pengukuhan hubungan industri.
“Ia bakal membuka laluan ke arah pencapaian pendidikan yang lebih inklusif dan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Surat Niat di Jakarta, Indonesia.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama UniKL bersama Pemerintah Daerah Khusus Jakarta akan memperkukuh jaringan pendidikan teknikal, manakala kerjasama dengan Pemerintah Sumatera Barat menampilkan keunikan tersendiri melalui pelaksanaan Program Ulul Albab Huffaz TVET Minangkabau.
“Program ini menggabungkan pendidikan Islam, kemahiran teknikal dan nilai budaya Minangkabau dalam usaha melahirkan generasi huffaz profesional yang holistik serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Pada majlis sama, turut dimeterai Surat Niat antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat (PGWS) yang bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua pihak.
Melalui kerjasama ini, EMGS akan membantu memudahcara proses permohonan visa pelajar tajaan PGWS selain memadankan pelajar dengan program dan institusi pengajian tinggi di Malaysia yang bersesuaian dengan minat dan keperluan mereka.
Penekanan turut diberikan kepada pelaksanaan prosedur yang tersusun, mesra pelajar dan berteraskan tanggungjawab bersama antara EMGS dan PGWS.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk terus mematuhi undang-undang dan dasar negara masing-masing dalam menjayakan usaha ini.
Dengan tempoh kerjasama selama lima tahun, Ahmad Zahid yakin bahawa inisiatif ini akan memacu inovasi dan pertukaran ilmu antara institusi pendidikan.
“Selain itu, meningkatkan kebolehpasaran graduan kedua-dua negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau secara mampan.
“Malaysia dan Indonesia sebagai dua negara serumpun dan sejiwa akan terus berganding bahu membina masa depan yang lebih cerah dan progresif untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN