PDRM tukar maklumat dengan pasukan luar negara

Penyeludupan Migran : PDRM tukar maklumat dengan pasukan luar negara

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berhubung dengan rakan sepasukan mereka di luar negara dalam mendapatkan sebarang maklumat jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertukaran maklumat dan risikan ini diperlukan dalam usaha mengekang sebarang kegiatan jenayah ini berlaku di dalam negara masing-masing.

Kata beliau, PDRM menerusi Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) memberi tumpuan pada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kerjasama ini termasuk latihan dan operasi bersama dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas, PDRM akan menggunakan sistem pengumpulan data untuk membina mekanisme pemantauan dan penilaian yang efektif.

Jelas beliau, ini membolehkan pihaknya untuk mengenal pasti corak dan trend jenayah penyeludupan migran.

“Mengambil inisiatif holistik dalam penguatkuasaan bersepadu, menyelaraskan pelbagai agensi dan sumber daya untuk meningkatkan kesan dalam memerangijenayah penyeludupan migran.

“Bekerjasama secara aktif dengan agensi antarabangsa untuk mengukuhkan usaha membanteras aktiviti jenayah penyeludupan migran,”ujarnya.

Beliau berkata, program kapasiti diberikan kepada pegawai untuk membolehkan mereka mengenal pasti, menyiasat, dan membongkar rangkaian penyeludupan migran dengan lebih efektif.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seramai 8,737 migran ditahan PDRM dipercayai diseludup masuk dan keluar dari negara ini oleh sindiket pemerdagangan manusia dalam tempoh 26 bulan sejak 2023 hingga Februari lalu.

Jumlah itu membabitkan 1,136 kes sindiket pemerdangan manusia dilaporkan berlaku dalam tempoh sama.

Modus operandi aktiviti jenayah penyeludupan migran dikesan melalui laluan darat dan laut apabila mereka akan dikenakan sejumlah bayaran kepada ejen untuk menguruskan perjalanan dari negara asal ke negara destinasi atau sebaliknya.

Sindiket penyeludupan ini menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, termasuk menyamar sebagai nelayan tempatan dan memanfaatkan kesibukan trafik di Selat Melaka.

Mereka juga menggunakan bot kecil untuk menghampiri kawasan pendaratan yang jauh dari pantai atau bandar yang dianggap jarang dipantau oleh pihak berkuasa.

Pelbagai cabaran dihadapi PDRM bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan ia termasukada mangsa diugut sindiket sehinggakan mereka takut untuk memberi keterangan menyebabkan siasatan berdepan kesukaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya