Pensyarah UM dilantik Pengerusi Majlis Asia Tenggara

Pensyarah UM dilantik Pengerusi Majlis Asia Tenggara

himpun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr. Vilashini Somiah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Asia Tenggara (SEAC) di bawah naungan Association for Asian Studies (AAS).

Pelantikan itu sekali gus melayakkan beliau menjadi ahli Lembaga Pengarah AAS, badan pentadbiran tertinggi organisasi akademik terbesar di dunia yang memfokuskan kepada Pengajian Asia.

Universiti Malaya (UM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu menyerlahkan reputasi antarabangsa Somiah yang semakin meningkat dan mencerminkan pengukuhan pengiktirafan global terhadap cendekiawan Malaysia dalam membentuk masa depan Pengajian Asia.

“Beliau yang juga anak kelahiran Sabah mencatat sejarah apabila menjadi sarjana pertama dari Asia Tenggara dan bertugas di rantau ini yang dilantik sebagai Pengerusi SEAC sejak majlis berkenaan ditubuhkan pada tahun 1970.

“Somiah mempunyai pengalaman penyelidikan antropologi selama hampir 15 tahun, termasuk kerja lapangan etnografi yang luas di Sabah, Sarawak, dan kawasan-kawasan lain di Borneo.

“Penyelidikan beliau banyak menyentuh isu-isu berkaitan gender dan peminggiran komuniti migran dan juga komuniti pribumi dalam konteks Asia Tenggara,” katanya, hari ini.

AAS yang ditubuhkan pada tahun 1941 merupakan organisasi antarabangsa yang berperanan memajukan bidang Pengajian Asia di peringkat global menerusi pelbagai program pertukaran ilmiah dan penyelidikan akademik.

Lembaga Pengarahnya terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih daripada empat Majlis, China dan Asia Dalam, Asia Timur Laut, Asia Selatan, dan Asia Tenggar serta barisan kepimpinan dan wakil-wakil lain.

Menurut UM, pelantikan Somiah dilihat sebagai pengiktirafan penting bukan sahaja kepada UM, malah mewakili suara Malaysia dalam tadbir urus akademik bertaraf antarabangsa.

“Somiah turut aktif dalam penyelidikan berkaitan gender, peminggiran komuniti migran dan komuniti pribumi dalam konteks Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, Somiah juga pernah menjadi Felo Pelawat ASEAN-Australia pada tahun 2018, Felo Pelawat di Saw Swee Hock Southeast Asia Centre, London School of Economics (LSE) pada tahun 2024 dan baru-baru ini dilantik sebagai Felo Bersekutu di Harvard University Asia Centre bagi sesi 2025–2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN