Penipuan MBI: Tan Sri, Datuk Seri terima komisen dana haram

Penipuan MBI: Tan Sri, Datuk Seri terima komisen dana haram

MUHAMMED HASBULLAH ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati lima lelaki termasuk seorang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang ditahan baru-baru ini disyaki menerima komi­sen ter­tentu daripada dalang pelaburan skim ponzi atau MBI yang diasaskan oleh Tedy Teow Wooi Hua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, setiap komisen yang diterima akan dibahagikan dalam jumlah tertentu sesama sendiri termasuk Tedy Teow.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia KPN Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, ada di antara mereka dikesan menjadi proksi dan juga rakan kongsi untuk menjalankan perniagaan terten­tu termasuk bidang hartanah.

Justeru itu, beliau berkata, pelbagai lagi aset dan akaun berjumlah bilion ringgit sedang dijejak pasukannya dalam masa terdekat.

“Ada dua kaedah digunakan dalang ini bagi mencuci duit hasil daripada jenayah peni­puan yang dilakukan iaitu dengan menggunakan proksi atau rakan kongsi untuk menjalankan perniagaan untuk mencuci duit.

“Siasatan masih berjalan ketika ini untuk mengesan aset-aset lain milik mereka termasuk Tan Sri yang ditahan. Kita (polis) jangka jumlah pembekuan aset serta akaun bernilai RM3.51 bi­lion yang sudah dirampas membabitan kes ini akan me­ningkat berbilion-bilion ringgit lagi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tiga dusun durian seluas 897 ekar, hotel, kilang memproses kelapa sawit antara aset terbaharu bernilai RM338 juta yang disita PDRM dalam kes membabitkan pelaburan skim ponzi berkenaan.

Dalam operasi siri kedua yang dijalankan bermula 18 April hingga 21 April lalu, seramai lima termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri ditahan dipercayai terlibat dalam pelaburan terbabit dan direman tujuh hari.

Kelima-lima mereka ditahan di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.

Siasatan polis mendapati, ketiga-tiga dusun durian itu beroperasi secara sah namun dipercayai dibeli menggunakan wang haram.

Menerusi operasi sama, sebanyak 299 akaun bank berjumlah RM123.6 juta, 12 kenderaan mewah, jam tangan mewah, wang tunai, lima telefon bimbit, komputer dan pelbagai dokumen penting turut disita dalam operasi terbabit.

Jelasnya, tiga buah perniagaan membabitkan kilang memproses kelapa sawit di Kedah dan sebuah syarikat pemaju serta hotel masing-masing di Pulau Pinang turut disita di bawah Seksyen 52, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Penipuan MBI dipercayai menggunakan kaedah ‘mene­bus’ barangan yang ditawarkan di bawah perniagaan mereka contohnya menukar tayar ken­deraan serta barang elektrik ba­gi menampakkan perniagaan itu seolah-olah relevan.

Siasatan dan maklumat diperoleh PDRM daripada Notis Me­rah Polis Antarabangsa (Interpol) mendapati, seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan itu sejak lapan tahun lalu manakala di negara ini hanya enam laporan polis sahaja diterima.

Pada 11 April lalu, skim pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran dilaporkan berjaya ditumpaskan dengan sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk dalam operasi pada 20 Mac lalu menerusi Op Northern Star. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN