Pengurus stor e-waste dijel sehari, denda RM70,000

Pengurus stor e-waste dijel sehari, denda RM70,000

CHAN Chin Hoong (tengah) dipenjara sehari dan denda RM70,000 selepas mengaku bersalah menempatkan buangan e-waste tanpa kelulusan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengurus stor e-waste dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menempatkan buangan elektrik dan elektronik terjadual tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tahun lalu.

Chan Chin Hoong, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Chan didapati menempatkan buangan terjadual jenis e-waste Kod SW110 dan bateri mengandungi litium Kod SW103 tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekeliling. Kesalahan dilakukan di premisnya di Plot 10 (Fasa 4), Kawasan Perusahaan Sungai Petani, dari jam 9 malam hingga 11.20 malam, 5 Julai 2024.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 34B(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah subseksyen (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan mengalami kerugian serta masih menanggung kos sewaan tapak premis.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JAS Kedah, Muniff Mat Rus memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pemain industri kitar semula agar mematuhi undang-undang alam sekitar.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Baling mengenakan denda RM30,000 terhadap sebuah syarikat kelapa sawit kerana melepaskan efluen melebihi had Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) ke dalam alur air pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya