PETALING JAYA: Trend pengundian dalam kalangan rakyat ketika ini menunjukkan kecenderungan mereka untuk menilai calon serta parti secara menyeluruh dan bukan sekadar bergantung kepada kelayakan individu semata-mata.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, keputusan pengundi dalam sesuatu pilihan raya lazimnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor bergantung kepada konteks dan suasana semasa.
Katanya, terdapat tiga faktor dominan yang menjadi asas utama dalam penilaian pengundi iaitu identifikasi parti, isu semasa serta faktor calon dan jentera parti.
“Kesetiaan pengundi terhadap parti yang telah terbina sejak sekian lama kekal menjadi asas penting dalam membuat keputusan terutamanya dalam kalangan pengundi berusia yang membuat pilihan berdasarkan identifikasi parti.
“Isu-isu semasa, sama ada nasional mahupun tempatan juga memainkan peranan besar dalam mengubah sentimen pengundi bergantung kepada strategi penyampaian kempen yang digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Perikatan Nasional (PN) menawarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang realistik dan mampu dilaksanakan jika menang PRK tersebut.
Mengulas mengenai PRK Ayer Kuning, Hisommudin berkata, meskipun PN mengemukakan senarai calon yang berkelayakan tinggi namun perkara itu belum tentu mampu menjamin kemenangan parti tersebut.
Katanya, calon yang mempunyai kredibiliti serta disokong oleh jentera parti yang kuat mempunyai kelebihan untuk meraih undi terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
“Walaupun calon yang diketengahkan oleh PN memiliki latar belakang hebat, kemenangan tidak akan terjamin sekiranya tidak disokong oleh strategi komunikasi yang berkesan.
“Pengundi hari ini mahu melihat keikhlasan, prestasi parti serta kemampuan calon dalam membawa perubahan yang realistik dan bukannya sekadar janji manis,” katanya.
Menurut Hisommudin mengenai manifesto parti, pengundi masa kini dilihat semakin kurang memberi perhatian terhadap tawaran yang dikemukakan dalam manifesto pilihan raya.
“Berdasarkan kajian ILHAM Centre, hanya kurang 10 peratus pengundi membuat keputusan berdasarkan manifesto yang dibentangkan oleh parti atau calon.
“Lebih membimbangkan, kenyataan terbuka daripada pemimpin politik yang menganggap manifesto bukan suatu ‘kitab suci’ menjejaskan lagi kepercayaan rakyat terhadap janji politik,” katanya. – UTUSAN