PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan ditahan selepas dipercayai cuba merakam gambar mengaibkan seorang pelajar sekolah di sebuah pasar raya di Kajang.
Tindakan lelaki berusia 48 tahun itu turut dirakam kamera litar tertutup sehingga tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesahkan satu video tular dalam aplikasi Instagram capricedaddycap berkenaan kejadian yang berlaku pada 24 April lalu.
Katanya, pengadu, wanita berusia 42 tahun, menyatakan pada hari kejadian, kira-kira pukul 7.30 petang, dia bersama anak perempuannya berusia 16 tahun, berada di sebuah pasar raya.
“Ketika di kaunter untuk membuat pembayaran, mereka didatangi seorang lelaki yang cuba merakam gambar mengaibkan anaknya.
“Seorang lelaki yang turut berada di kedai tersebut telah menegur suspek selain menggagalkan perbuatan tersebut. Suspek telah menafikan perbuatannya dan terus beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, seorang pengawal keselamatan berusia 48 tahun ditahan pada pukul 12.05 tengah malam tadi.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek merupakan seorang duda dan tiada sebarang rekod lampau.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit dan suspek kini direman sehari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908 bagi membantu siasatan.- UTUSAN