PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis sebagai projek rintis bagi membentuk disiplin pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis itu juga adalah usaha berterusan pihaknya untuk pendekatan sifar buli di semua MRSM seluruh negara.
Katanya, cadangan itu dibangkitkannya dalam Majlis Mara tempoh hari dan telah dipersetujui secara sebulat suara.
“Buat permulaan ini, projek rintis akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.
“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Cadangan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis dibangkitkan susulan kes buli yang tular di media sosial membabitkan tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Bahagian Pendidikan Menengah Mara juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggubgjawab dan bidang tugas Warden di MRSM.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.










