Penglibatan dalam pasukan beruniform seperti Pengakap bukan sahaja mendorong pelajar membudayakan diri dengan aktiviti berfaedah tetapi mereka yang terlibat berpeluang mengasah bakat kepimpinan dan membentuk sahsiah diri.
Ini kerana program pasukan beruniform seperti pasukan Pengakap mempunyai pengisian aktiviti yang pelbagai dan bermanfaat untuk golongan muda terutama membina keperibadian dan sahsiah diri.
Aktiviti pasukan tersebut juga mendedahkan kepada pelajar pembinaan bakat kepimpinan, kerja berpasukan dan bekerjsama dalam semua program.
Sebab itu sekalung tahniah wajar diberi kepada pasukan pengakap yang baru baru ini menganjurkan Latihan Kepimpinan Belia Kebangsaan (NYLTC) anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang disertai seramai 53 orang pelajar.
Beberapa peserta yang ditemui Utusan Pelajar mengakui banyak nilai nilai positif yang diperoleh sepanjang kursus berkenaan.
Salah seorang peserta, Nisshan Rao Babu, 23, berkongsi pandangannya mengenai kepentingan disiplin dalam membentuk jati diri seorang pemimpin.
“Pada usia muda, kita perlu menekankan disiplin, khususnya antara usia 13 hingga 17 tahun. Ia adalah waktu yang penting untuk membentuk karakter.
“Apabila memasuki usia 17 atau 18 tahun, kita akan mula menjelajahi lebih banyak perkara, namun disiplin tetap menjadi tunjang utama,” katanya.
Dia menambah bahawa latihan dalam program seperti ini bukan sahaja membina kemahiran individu, tetapi juga menekankan aspek kerja berpasukan dan kepimpinan tidak formal.
“Melalui sistem kepimpinan dalam PPM, kami belajar mengenali siapa pemimpin dan bagaimana memimpin pasukan masing-masing. Setiap pemimpin mempunyai gaya tersendiri, jadi ini menjadi ruang untuk kami belajar daripada satu sama lain,” katanya.
Sementara itu bagi Kang Shin Ci, 22, dia yang menyertai pasukan beruniform sejak zaman persekolahan mengakui program tersebut banyak membentuk disiplin dan kefahaman tentang peraturan serta etika.
BAKAT kepimpinan dan kerjasama ahli Pengakap dapat dibentuk menerusi akltiviti yang dijalankan.“Bagi saya, ia membentuk asas kepimpinan sejak awal. Disiplin yang dipupuk sejak di bangku sekolah membantu kami memahami nilai betul dan salah. Melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti, kami diberi peluang untuk meneroka potensi diri sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya.
Selain itu, seorang peserta lain juga, Dhiya Amira Abd Razak, 23, berkata, perkara yang paling penting apabila menyertai pasukan beruniform ialah apabila kita terlibat dan mempunyai kumpulan yang menyokong kita dalam apa sahaja yang kital lakukan dan kita juga boleh belajar dan mendapat inspirasi daripada mereka.
Tambahnya, penyertaan dalam kumpulan kecil mampu menjadi titik permulaan kepada perkembangan diri yang lebih besar dan bermakna.
“Daripada kumpulan kecil inilah, kita belajar dan berkembang. Ia menjadi asas penting dalam membina daya kepimpinan,” katanya.
Mengulas mengenai bagaimana aktiviti pasukan beruniform mampu membentuk pemimpin masa hadapan, dia menjelaskan bahawa kebanyakan pelajar dibimbing oleh pemimpin muda yang lebih berpengalaman.
“Bimbingan daripada pemimpin muda ini sangat membantu, terutamanya bagi pelajar sekolah menengah mahupun universiti. Ia mendorong kita untuk terus memperbaiki diri dan menjadi lebih baik dari masa ke masa.
“Pelbagai kemahiran penting seperti pengurusan masa dan kemahiran insaniah turut diterapkan secara tidak langsung dalam pasukan beruniform.
“Kemahiran seperti ini tidak diajar secara formal dalam bilik darjah atau silibus akademik. Tetapi melalui pasukan beruniform, kita boleh belajar semua itu dengan cara yang lebih praktikal dan berkesan,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh PPM ini merupakan inisiatif berterusan untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa dan berkemahiran tinggi, khususnya dalam kalangan ahli Pengakap.
Pengarah program NYLTC, Zairin Adam Abdul Aziz berkata, objektif utama penganjuran program itu adalah untuk melatih dan membentuk barisan pemimpin muda dari pelbagai latar belakang, termasuk pelajar universiti, golongan profesional muda serta mereka yang baru menjejak alam pekerjaan.
“Dalam kalangan pelajar, mereka adalah pelapis kepada generasi kepimpinan masa depan dalam organisasi kita, PPM. Program ini menjadi asas kesinambungan ke arah barisan pesuruhjaya masa hadapan dan menjadi medan pemilihan awal untuk delegasi ke Forum Belia Rantau Asia pasifik ke-11 yang akan diadakan pada Oktober ini,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Tambah Zairin, seramai 10 orang delegasi bakal mewakili PPM ke forum tersebut yang dijadualkan berlangsung di Taiwan.
“Biasanya antara topik utama yang akan dibincangkan dalam forum ini adalah Youth Leadership in Decision Making. Melalui latihan ini, peserta dididik untuk membuat keputusan dan menerapkan ciri-ciri kepimpinan agar mereka mampu mengambil peranan penting dalam struktur organisasi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Antarabangsa PPM, Norma Noordin menyeru anggota Pengakap supaya membuat introspeksi dan renungan terhadap prinsip-prinsip yang telah dipelajari bagi memperkukuh diri dengan kemahiran kepimpinan dan perubahan minda.
BeLiau berkata, setelah diri diperkukuh, kerja berpasukan dan kepimpinan yang berkesan boleh menyumbang kepada sistem yang sedia ada untuk mewujudkan PPM dan dunia yang lebih baik.
Pengerusi Program, Muhammad Naufal Othman pula berkata NYLTC menyasarkan penyertaan Pengakap Kelana berumur antara 18 hingga 25 tahun dari seluruh negara.- UTUSAN