GEORGE TOWN: Hubungan dua hala antara Myanmar dan Pulau Pinang mencatat sejarah baharu apabila Myanmar Airways International (MAI) melancarkan penerbangan sulung terus dari Yangon ke negeri ini bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, langkah ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik merangkumi sektor pelancongan, pelaburan, pendidikan dan perkhidmatan perubatan.
“Ini merupakan penerbangan pertama oleh syarikat penerbangan Myanmar ke Pulau Pinang dan mencerminkan keyakinan terhadap potensi negeri ini sebagai hab serantau,” katanya selepas menghadiri Sesi Pembentangan MAI bersama ejen pelancongan, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kesatuan Pelancongan Myanmar (UMTA), Kyaw Bohne Naing. Penerbangan sulung dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira pukul 6 petang esok.
Menurut Hon Wai, meskipun Myanmar baru-baru ini dilanda gempa bumi di sempadan Wilayah Sagaing dan Mandalay, Lapangan Terbang Yangon tidak terjejas kerana terletak lebih 600 kilometer dari pusat gempa.
“Namun, jumlah penumpang mungkin sedikit terkesan dan kita masih menunggu maklumat lanjut,” katanya.
Beliau turut merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar atas bencana tersebut, sambil berharap proses pemulihan berjalan lancar.
Tambahnya, Pulau Pinang ialah destinasi utama pelancongan perubatan di Malaysia, menerima ratusan ribu pesakit antarabangsa termasuk dari Myanmar setiap tahun.
“Hospital swasta di sini menawarkan rawatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan. Myanmar merupakan antara pasaran utama sektor ini,” katanya.
Setakat ini, Pulau Pinang mempunyai sambungan penerbangan terus ke 20 bandar utama di Asia dan Timur Tengah. Yangon menjadi destinasi ke-21, dan Chengdu akan menyusul pada 30 April ini. – UTUSAN