TAMPIN: Penduduk Kampung Tengah di sini gusar apabila hakisan tebing sungai yang semakin serius mengancam jambatan utama kampung sehingga kelihatan mula mendap sedikit demi sedikit.
Lina Ahmad, 58, berkata, jambatan berkenaan dibina atas tanah milik keluarganya lebih 30 tahun lalu dan menjadi laluan penting buat dua keluarga serta pekebun sekitar.
Menurutnya, dua tahun lalu, kerja-kerja pengukuran telah dijalankan bagi membina jalan baharu dan membaiki jambatan, namun tiada tindakan susulan diambil hingga kini.
“Sekarang, tebing terus terhakis. Pokok buluh serta tumbuhan lain sudah tumbang ke dalam sungai dan tidak dibersihkan. Kami harap tindakan segera dapat diambil demi keselamatan,” katanya.
Tambahnya, keluarga juga telah memberi kebenaran menggunakan tanah mereka bagi tujuan pembinaan jalan baharu.
Seorang lagi penduduk, Roszurina A. Rahim, 53, berkata, jambatan itu satu-satunya laluan keluar untuk menziarahi abangnya yang sakit.
“Laluan lain sudah tertutup. Bila banjir, hakisan makin teruk dan jambatan makin mendap. Mohon pihak berkuasa ambil tindakan segera,” katanya. – UTUSAN










