GEORGE TOWN : Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) digesa untuk mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Sungai Teluk Gong di Pelabuhan Klang yang kini diancam pencemaran yang serius.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar tetapi boleh mengancam kesihatan penduduk dan pelbagai jenis hidupan air di sungai tersebut selain menjejaskan sumber pendapatan nelayan di kawasan itu.
Mohideen berkata, dalam hal ini, CAP hairan dan mempersoalkan mengapa punca kepada masalah pencemaran terbabit gagal dikesan dan diambil tindakan oleh pihak yang berkenaan sehingga keadaan itu menjadi parah.
“Laporan media menyatakan hasil ujian kualiti air dari empat anak sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer (km) mengelilingi Teluk Gong hingga ke Pelabuhan Klang oleh sebuah makmal bebas bertauliah di Selangor mendapati kandungan ammonia dalam air adalah sangat tinggi.
“Selain itu, Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Keperluan Oksigen Kimia (COD) juga tinggi daripada paras biasa dan jika mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS), ia berada pada kelas V iaitu kategori paling tercemar.
“Kandungan BOD, COD dan tahap pencemaran organik atau kadar karbon organik (TOC) serta ammonia yang sangat tinggi menjadikan sumber air sungai terbabit bertoksik kepada kehidupan termasuk ikan tidak boleh hidup di dalamnya,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Mohideen, kawasan Sungai Teluk Gong dilaporkan tercemar akibat kewujudan kilang-kilang yang disyaki beroperasi secara haram serta membuang sisa tanpa mengikut prosedur yang betul.
Sehubungan itu katanya, CAP menggesa pihak berkuasa yang terlibat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan masalah ini ditangani dengan berkesan dan tidak lagi berulang.
Di samping penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan tempatan, JAS Selangor perlu melaksanakan peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas ke atas pihak yang menjadi punca kejadian ini.
“CAP juga meminta Jabatan Perikanan untuk menyiasat perkara ini yang menjurus kepada keselamatan hasil tangkapan nelayan serta kemerosotan sumber pendapatan yang mereka alami,” katanya yang berharap, bantuan atau pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada nelayan-nelayan di kawasan itu jika terbukti mata pencarian mereka terjejas akibat pencemaran terbabit.
Terdahulu, Utusan Malaysia dalam laporan khasnya hari ini mendakwa, Sungai Teluk Gong kini boleh diibaratkan seperti sudah mati ekoran ekoran pencemaran yang serius hingga kualiti airnya tidak sesuai untuk sebarang kehidupan.
Keadaan itu secara tidak langsung boleh mengancam kesihatan lebih 40,000 penduduk sekitarnya, selain memudaratkan ekosistem dan alam sekitar di kawasan berkenaan.-UTUSAN