Penangan Ustaz Qodrat menjadi - Utusan Malaysia

Penangan Ustaz Qodrat menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Vino G Bastian meluahkan rasa bersyukur apabila wataknya sebagai pendakwah menerusi filem Qodrat meninggalkan kesan di hati penonton.

Kata Vino, meskipun tidak mudah untuk menjayakan watak sebagai Ustaz Qodrat menerusi filem sekuel tersebut, hatinya senang apabila panggilan itu sudah melekat dalam kalangan peminat.

“Sejak membintangi filem Qodrat, memang ramai yang panggil saya ustaz. Tetapi saya okay saja dan senang hati dengan panggilan tersebut.

“Sebagai pelakon, saya anggap perkara itu satu pencapaian kerana berjaya membawakan watak Ustaz Qodrat dengan baik. Malah, ada juga yang terlupa bahawa nama saya adalah Vino,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon berusia 43 tahun itu mengakui karakter tersebut secara tidak langsung membimbingnya untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

“Saya sama seperti orang lain di mana bacaan al-Quran masih belum lancar dan ibadah yang dilakukan tidak 100 peratus betul. Namun, watak Qodrat mendorong saya untuk membimbing saya untuk perbaiki setiap kelemahan itu.

“Malah, watak tersebut juga membuatkan saya mahu refleksi diri untuk menjaga kelakuan dan mengelak daripada berbuat perkara yang tidak baik,” jelasnya.

Tambah Vino, hikmah terbesar terhadap penglibatannya menerusi filem seram itu adalah apabila dirinya diberi peluang untuk mendalami ilmu agama dan memantapkan ibadahnya.

Bukan itu sahaja, Vino juga menganggap setiap ayat Al-Quran yang dihafal menerusi naskhah tersebut dapat dipraktikan dalam kehidupan seharian termasuklah mengajar anak-anak.

“Saya berasa sangat beruntung diberi peluang untuk menghafal ayat-ayat al-Quran menerusi filem ini. Jika sebelum ini ada beberapa surah saya tidak tahu makna dan fungsinya, sekarang saya boleh ajarkan kepada anak-anak.

“Saya menganggap penglibatan saya menerusi filem Qodrat ini sebagai satu keberkatan kerana berpeluang mempelajari agama dengan lebih dekat. Mudah-mudahan boleh memantapkan lagi amal ibadah,” katanya.

Vino yang sebelum ini membintangi Qodrat pertama, kini bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Acha Septriasa, Della Dartyan dan Dony Alamsyah menerusi Qodrat 2.

Untuk info, Qodrat 2 sudah mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 17 April lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya