PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai kehilangan besar buat negara.
Beliau berkata, pemergian Perdana Menteri Kelima itu pasti akan dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepemimpinan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Sumbangan serta jasa beliau dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti dan prinsip Islam Hadhari akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.
“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Tun Abdullah bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat saya hormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berkongsi lanjut, Ahmad Zahid berkata, semasa perjalanan awal kariernya, Allahyarham banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat yang tidak ternilai.
“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini,” katanya.
Ahmad Zahid dan keluarga turut merakamkan ucapan takziah setulusnya kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah serta seluruh keluarga arwah.
“Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.
Semalam, Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan yang dialaminya. – UTUSAN