SEREMBAN: Seorang pemandu lori terlepas hukuman gantung sampai mati sebaliknya hanya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap bapanya, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh P. Niruben, 28, atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Rohani berkata, hukuman terbabit dijatuhkan selepas menimbang rayuan mitigasi peguam dan hujahan pemberat daripada pihak pendakwaan.
Beliau turut menasihatkan tertuduh supaya bersabar dan lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan pada masa hadapan.
“Jadi kamu boleh bersabar ya jangan buat tindakan yang melulu. Kamu bernasib baik sebab tidak diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, itu boleh kena gantung sampai mati,” katanya pada prosiding keputusan kes di sini hari ini.
Niruben diperintahkan menjalani hukuman pemenjaraan itu bermula dari tarikh tangkap pada 5 Ogos 2023.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd. Saubian memaklumkan representasi tertuduh yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara telah diterima dan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibenarkan di bawah pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah menyebabkan kematian ke atas K.K Paramasivan dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di Taman D’Ambang, Kota Lukut di Port Dickson lebih kurang pukul 12.20 tengah malam hingga 1.10 pagi pada 5 Ogos 2023.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam S. Paul Krishnaraja yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang minimum dan memberitahu tertuduh telah insaf.
Jelas Paul, mangsa dalam kes tersebut telah memulakan pergaduhan dengan menggunakan kayu dan barang-barang lain terhadap tertuduh.
“Berdasarkan fakta kes, dapat dilihat mangsa dalam kes ini adalah ayah tertuduh dan pada hari kejadian mangsa (ayah) berada dalam keadaan mabuk.
“Mangsa bergaduh dengan ibu tertuduh yang mana perkara ini sering berlaku. Mangsa pada hari kejadian menggunakan kata-kata kesat dan tertuduh telah cuba memberhentikan perkara ini sebelum satu pergaduhan berlaku,” katanya. – UTUSAN