REMBAU: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam nahas di Kilometer 242, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), dekat sini, pukul 11.30 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, Kamarul Zainal Abidin, 49, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, selain kereta jenis Perodua Myvi, turut terbabit dalam nahas ialah lori jenis Volvo membawa muatan konkrit batu dipandu lelaki berusia 38 tahun dan lori jenis Nissan membawa muatan minuman dipandu lelaki berusia 40 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta dan lori jenis Volvo dari arah Senawang menghala ke Ayer Keroh, Melaka. Apabila sampai di tempat kejadian sebuah kenderaan yang berada di hadapan lori jenis Volvo telah brek secara mengejut.
“Ini menyebabkan lori jenis Volvo mengelak ke kanan dan telah terbabas di tengah-tengah pembahagi jalan. Pemandu kereta yang berada di lorong kanan turut sama dihimpit ke tengah pembahagi jalan.
“Pemandu sebuah lagi lori datang dari arah Ayer Keroh menghala Senawang telah terbabas sendiri ke kiri jalan akibat mengelak konkrit batu yang tercampak di laluannya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Azmi lagi, akibat kemalangan itu, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori jenis Volvo telah mengalami cedera ringan dan pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN