Pelajar maut digilis lori dalam perjalanan pulang dari sekolah

Pelajar maut digilis lori dalam perjalanan pulang dari sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Masjid Negeri, di sini semalam.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolahnya di Batu Lanchang menghala ke rumahnya di Gelugor.

 

“Sebaik sahaja melalui tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal yang lain dari arah kiri terlanggar motosikal mangsa. 

 

“Impak daripada pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan sebelum dilanggar pula oleh sebuah lori di sebelah kiri jalan,” katanya di sini, hari ini.

 

Abdul Rozak berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan meninggal dunia di hospital itu pada pukul 6.09 petang. 

 

“Sementara itu, pemandu lori dan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

“Ketika ini, identiti penunggang motosikal yang dipercayai menyebabkan kemalangan itu telah dikenal pasti dan dia akan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

 

Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya