KUALA LUMPUR: Seramai 48 pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMa) terpilih untuk dilatih sebagai tenaga kerja mahir dalam sektor pengangkutan rel, terutama aspek pengoperasian dan penyelenggaraan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program perantisan kerjasama antara Mara dengan Malaysia Rail Links Sdn. Bhd. (MRL) itu bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu, malah memperkukuh kemahiran jangka panjang dalam bidang teknologi rel yang semakin berkembang.
Katanya, ia turut merangkumi latihan kemahiran selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China melibatkan bidang teknologi lokomotif dan penyelenggaraan sistem rel.
“Pelajar yang dipilih terdiri dari enam institusi iaitu UniKL Malaysia France Institute (MFI), UniKL British Malaysian Institute (BMI), UniKL Malaysian Institute of Industrial Technology (MIDI), Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Melaka, KPM Indera Mahkota dan KPM Seri Iskandar.
“Kita mahu melahirkan graduan yang menguasai teknologi rel dan bersedia menyahut cabaran industri global,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Mara-MRL di sini, hari ini.
Asyraf berkata, pelajar terlibat akan diberi latihan penguasaan bahasa Mandarin tahap tiga bagi meningkatkan daya saing mereka.
“Mereka yang berjaya menamatkan program ini akan menerima diploma yang ditauliahkan oleh LRVTC dalam bidang EMU Maintenance Technology, Railway Signaling Automatic Control atau Railway Transportation Operation Management serta dijamin peluang pekerjaan dengan pendapatan yang kompetitif,” katanya.