TUMPAT: Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan yang kudung jari tangan kanan dan kiri membuktikan kecacatan itu bukan penghalang untuk berjaya apabila memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan kelmarin.
Aishah Isham Nudin, 18, calon berkeperluan khas, memperoleh 5A (2A dan 3A-) 3B (1B, 2B+) 1C+, tekad melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus mahu mengubah nasib keluarga.
Dia mahu membalas jasa ibu, Suriati Mohd. Harun, 47, yang bekerja sebagai pembantu kedai bagi memastikan pelajarannya tidak terabai.
“Jodoh ibu dan ayah tidak panjang. Ibu banyak berkorban untuk saya mendapat pelajaran sebaik mungkin.
“Ayah meninggal dua tahun lalu dan saya mempunyai seorang kakak yang sudah berumah tangga,” katanya ditemui di sini semalam.
Anak bongsu dari dua beradik memberitahu, ketiadaan jari sejak lahir membuatkan dia terpaksa berehat seketika selama lima minit bagi membolehkan tangannya berehat sepanjang menduduki SPM akibat lenguh, namun ia tidak tidak menjejaskan tumpuannya.
“Semasa percubaan SPM, saya hanya memperoleh 3A sahaja. Berkat kesungguhan dan usaha tanpa jemu, Alhamdullilah peperiksaan sebenar saya memperoleh 5A,” katanya. – UTUSAN