Pekerja kontrak tidak mengaku patahkan tangan Datuk

Pekerja kontrak tidak mengaku patahkan tangan Datuk

DORAI Pandian (dua dari kiri) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki bergelar Datuk sehingga menyebabkan tangan kanan mangsa patah, dua minggu lalu.

Tertuduh, M. Dorai Pandian, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap R. Sritharan, 43, di medan selera Old Market, Jalan New Ferry di sini, pada pukul 4.25 petang, 13 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin yang kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam M. Puven yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan rendah diberikan atas alasan anak guamnya merupakan pekerja kontrak selain perlu menyara dua anak serta isteri.

Aini Adilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung seorang kontraktor akibat diserang susulan perselisihan faham dalam satu majlis keraian Sabtu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN