PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) telah memutuskan rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah nanti.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rakan kerjasama itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, PEJUANG bukanlah sebuah parti yang besar, justeru pihaknya perlu berbincang dengan parti-parti lain di Sabah.
“Kami bukanlah sebuah parti besar oleh sebab itu, kita berbincang dengan parti lain untuk setidak-tidaknya sebagai sebagai gabungan.
“Apa yang menariknya, keahlian PEJUANG di Sabah itu boleh tahan dan saya awal-awal tak fikir yang kita akan dapat banyak sokongan di Sabah tapi yang berlaku sebaliknya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PEJUANG di sini, hari ini.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Hadir sama beberapa pemimpin parti politik termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, beliau akui kedudukan PEJUANG dalam kancah politik negara kurang relevan kerana terpaksa bersaing dengan banyak parti-parti Melayu lain.
“Atas sebab itu kita rasakan bahawa apa juga yang kita buat mestilah memberi nilai tambah kepada politik Melayu.
“Tapi kami masih bercita-cita untuk terlibat dalam proses demokrasi dalam negara ini sama ada secara individu atau bergabung dengan parti lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, PEJUANG berminat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN Sabah. – UTUSAN