ISKANDAR PUTERI: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas pelbagai jenis dadah seberat 121 kilogram (kg) bernilai RM14.39 juta dengan penahanan sepasang kekasih, bulan lalu.
Pemangku Pengarah JSJN, Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan parkir di sebuah pangsapuri, di sini.
Beliau berkata, pasukan Narkotik Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Johor melancarkan operasi khas dengan membuat serbuan dan menahan sebuah Honda City yang dinaiki suspek tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menjumpai dua bungkusan plastik mengandungi dadah syabu anggaran berat dua kg, enam bungkusan plastik berisi dadah heroin seberat 3.3 kg dan empat bungkusan plastik yang disyaki dadah ‘heroin base’ anggaran berat 1.5 kg.
“Serbuan di pangsapuri itu pada pukul 6.15 petang pula, menjumpai 56 bungkusan plastik berisi pil-pil ekstasi dengan anggaran berat 83 kg dan 69 bungkusan lagi dadah heroin dengan anggaran berat 31.2 kg,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Mat Zani berkata, jumlah dadah seberat 121 kg yang dirampas itu boleh digunakan seramai 658,000 penagih dadah jika terlepas ke pasaran.
Pihaknya percaya pangsapuri itu turut dijadikan tempat simpanan dan makmal mini memproses dadah susulan penemuan bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah di bilik berasingan di premis tersebut.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah sewa dengan kadar sewaan RM2,500 sebulan sebagai tempat pemprosesan dan stor penyimpanan dadah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lalu yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi mendapatkan bekalan dari Pantai Timur sebelum diedarkan untuk pasaran Singapura dan Indonesia selain pasaran tempatan,” katanya.
Beliau sambil itu memberitahu ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamine.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan ugutan jenayah pada 2014 dan baru dibebaskan dari penjara pada Februari tahun lalu setelah menjalani hukuman penjara lapan tahun lapan bulan serta 11 sebatan di Singapura.
“Walaupun baru dibebaskan, suspek tidak serik dan terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ini. Suspek yang bertindak sebagai penghantar dipercayai menerima upah antara RM8,000 hingga RM10,000 mengikut berat dadah.
“Lelaki itu mendakwa tidak mengenali dalang utama yang dipercayai warganegara asing, malah hanya menerima arahan daripada dalang itu menerusi WeChat,” katanya. – UTUSAN