PETALING JAYA: Pappajack Berhad mahu mengubah persepsi perniagaan pajak gadai dengan menawarkan pembiayaian kredit kepada mana-mana individu.
Pengarah Urusannya, Hua Boom Lim berkata, sebelum ini timbul pelbagai persepsi terhadap perniagaan pajak gadai, namun pihaknya mengubah pandangan itu sebagai entiti pembiayaan yang mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan.
Katanya, Pappajack bukan sahaja memastikan premis pajak gadai kelihatan moden, bersih dan mesra pelanggan, tetapi melatih kakitangan agar bersikap profesional, sopan dan membantu untuk membina kepercayaan pelanggan.
“Kami memaparkan kadar faedah, caj dan syarat dengan jelas,” katanya.
Boom Lim berkata, bermula lapan kedai pajak gadai namun kini setakat kini mempunyai 43 buah setakat 5 Februari lalu.
“Kami mengendalikan cawangan pajak gadai yang dilesenkan oleh KPKT dan oleh itu, kami mematuhi peraturan di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.
“Ia termasuk kadar faedah yang ditetapkan, yuran pentadbiran yang dikenakan kepada pelanggan serta semua prosedur pentadbiran yang ditetapkan oleh KPKT termasuk prosedur untuk menjual barang gadaian dan tanggungjawab terhadap pelanggan,” katanya.
Menurutnya, Pappajack menyediakan pinjaman pajak gadai sehingga jumlah tertentu seperti yang diluluskan oleh KPKT berdasarkan cagaran barang kemas emas dan jam tangan mewah.
“Kumpulan kami terlibat secara prinsip dalam penyediaan perkhidmatan pajak gadai melalui rangkaian cawangan pajak gadai di Malaysia,” katanya.