Papagomo mohon maaf kepada Razarudin

Papagomo mohon maaf kepada Razarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua hari selepas berakhirnya bulan Syawal, blogger, Papagomo memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Mahkamah Tinggi di sini kerana melanggar perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.

Permohonan maaf tersebut dibacakan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong hari ini. Razarudin bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini dan diwakili oleh peguamnya, Raam Kumar.

Turut hadir ialah peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili blogger tersebut.

Mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar prosiding komital yang diperoleh Razarudin pada 10 Februari lalu kerana tidak mematuhi perintah mahkamah.

Prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Selepas pernyataan itu dibacakan dan direkodkan, Mahkamah memerintahkan agar permohonan maaf itu disiarkan dalam platform YouTube, Tiktok, X Telegram milik Papagomo bagi tempoh tujuh hari bermula hari ini.

Papagomo juga dikehendaki memadamkan kenyataan dan gambar terbabit. Lelaki terbabit juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000.

Permohonan maaf tersebut berkait dengan dua kenyataan yang dibuat Papagomo pada Januari lalu termasuk imej gambar Ketua Polis itu yang telah diubah suai walaupun telah terdapat perintah injunksi yang melarang Papagomo daripada berbuat demikian.

Pada 31 Disember 2024, Razarudin berjaya memperoleh perintah injunksi terhadap Papagomo antara lain melarang dan menghalang blogger itu daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.

Perintah injunksi itu adalah di antara relif yang dimohon dalam saman fitnah difailkan pegawai tertinggi polis itu pada 26 Disember lalu yang turut menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta.

Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 24 Disember lalu, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap Ketua Polis Negara dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya