SHAH ALAM: “Apa salahnya universiti Melayu mempunyai fakulti perubatan.”
Demikian ungkapan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memanggil bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berhubung penubuhan sayap perubatan yang merangkumi empat fakulti termasuk farmasi, pergigian dan sains kesihatan.
Ibrahim Shah berkata, ketika menjadi Perdana Menteri, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu menyokong dan mengarahkan penubuhan sayap perubatan UiTM khususnya Fakulti Perubatan yang mula membuka sesi pengajiannya pada Jun 2003 yang sebelum itu turut dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya akan dibuang kerja, kerana ketika itu perjuangan saya menubuhkan fakulti perubatan ditentang segelintir pemimpin termasuk menteri pada masa itu.
“Namun, situasi sebaliknya berlaku apabila beliau memaklumkan kepada saya ‘apa salahnya universiti Melayu mempunyai fakulti perubatan’ saya rasa amat terharu Pak Lah memandang serius dasar dan pembangunan UiTM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, Abdullah yang mesra dikenali sebagai Pak Lah adalah antara Perdana Menteri yang memandang serius terhadap dasar dan pembangunan UiTM sehingga universiti terbesar itu menjadi satu-satunya agensi kerajaan menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) pada 2008.
Fakulti Perubatan UiTM melahirkan graduan pertamanya seramai 20 orang pada April 2008. Sehingga kini, lebih 2,000 graduan perubatan dilahirkan dan berkhidmat dalam pelbagai sektor bidang itu di dalam dan luar negara.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, Abdullah berjasa dalam menyelamatkan berbilion ringgit duit rakyat daripada disalahguna berhubung kerjasama antara UiTM dengan sebuah buah kolej dan agensi swasta ketika pentadbiran Allahyarham.
“Saya masih ingat, satu peristiwa kolej swasta hendak menawarkan francais program UiTM dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, ketika itu saya berjumpa dengan Pak Lah dan menerangkan secara terperinci berkenaan risiko kerugian dan saman kerana dalam kontrak perjanjiannya kolej berkenaan meminta UiTM membayar berbilion ringgit.
“Kemudian, sebuah agensi swasta sedang dalam pembinaan dan ingin bekerjasama dengan UiTM, ketika itu Perdana Menteri sudah setuju dan hendak pergi ke majlis pecah tanah. Tetapi saya mengesan something fishy dan menghubungi Pak Lah, beliau mendengar dan memahami keburukannya, beliau terus batalkannya,” jelasnya.
Allahyarham Abdullah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.10 malam kelmarin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas diberikan rawatan kerana mengalami masalah pernafasan.
Beliau diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur. –UTUSAN










