KOTA BHARU: Jasa Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah dalam memajukan bidang pendidikan tinggi di Kelantan cukup besar apabila beliau merupakan pencetus penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Perkara itu dikongsikan bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurut Mustapa, pengumuman mengenai penubuhan UMK dibuat sendiri oleh Allahyarham dalam Parlimen dan beliau yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi telah diamanahkan untuk merealisasikan projek tersebut.
“Pak Lah merupakan seorang pemimpin berwawasan yang banyak berjasa kepada negara. Beliau bukan sahaja mencetuskan penubuhan UMK, malah turut memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari serta program J-QAF yang melibatkan pengajaran jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain di sekolah,” katanya.
Tambah Mustapa, Allahyarham turut dikenang sebagai pemimpin yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat apabila menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi ketika pemerintahannya.
“Beliau seorang yang berjiwa besar dan memiliki tahap kesabaran yang luar biasa dalam memimpin negara.
“Semoga Allah mengampuni segala dosa beliau dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Allahyarham Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 7.10 kelmarin akibat masalah pernafasan pada usia 86 tahun.
Beliau yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009 dan dikenang sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.-UTUSAN