KUANTAN: Sebanyak 40 keluarga dikenal pasti berada dalam kategori miskin tegar di negeri ini sehingga 18 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri komited membantu golongan tersebut keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan.
Katanya, antara inisiatif itu ialah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang bertujuan membasmi kemiskinan luar bandar dengan menyediakan bantuan bina baharu dan pembaikan rumah bagi memastikan golongan sasar memiliki kediaman yang selamat serta selesa.
“Selain itu, kerajaan negeri menyokong pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang menumpukan kepada usaha pembasmian miskin tegar dan pengupayaan kumpulan B40 bagi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Ketari) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.
Wan Rosdy berkata, tiga kawasan DUN iaitu Tanjung Lumpur, Beserah dan Padang Tengku merekodkan jumlah keluarga miskin tegar paling tinggi dengan masing-masing empat keluarga.
Sementara itu, Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) mempersoal kaedah kerajaan negeri memperoleh data keluarga miskin tegar seperti yang dibentangkan kerana didakwa tidak mencerminkan situasi sebenar di kawasan DUN yang diwakilinya.
Mengulas perkara itu, Wan Rosdy berkata, status miskin tegar adalah bersifat subjektif dan ditangani secara berperingkat memandangkan data tersebut sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
“Data diperoleh daripada tiga agensi utama iaitu Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 13,483 keluarga di negeri ini dikenal pasti berada dalam kategori miskin. – UTUSAN