BUKIT MERTAJAM : Kejayaan Nurul Izzah Anwar mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Permatang Pauh semalam dilihat mencerahkan peluang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang itu untuk mempertahankan jawatannya di peringkat Pusat pula iaitu sebagai Naib Presiden PKR.
Ketua Penerangan PKR negeri, Abdul Mohsein Mohd. Shariff berkata, pada masa yang sama, kemenangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menunjukkan bahawa pemimpin tersebut masih diterima oleh akar umbi PKR di cabang berkenaan ketika ini.
Katanya, selain Nurul Izzah yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh itu, beliau melihat kejayaan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang juga Timbalan Pengerusi MPN Keadilan negeri iaitu Dr. Mohamad Abdul Hamid begitu signifikan terhadap parti tersebut di peringkat negeri.
“Kemenangan Nurul Izzah dan Mohamad menunjukkan keyakinan akar umbi kepada gandingan mereka untuk terus membawa aspirasi perjuangan terutama untuk keadilan rakyat di negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Nurul Izzah, jawatan Ketua Cabang PKR Nibong menjadi milik Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang menang dalam pertandingan tiga penjuru.
Namun Exco kerajaan negeri merangkap ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol pula tewas kepada Johari Kassim bagi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Jelutong.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, pemilihan PKR ini bukan sekadar soal menang atau kalah semata-mata, sebaliknya, ia boleh dianggap sebagai medan untuk menyuburkan budaya politik matang dan membina.
“Semua calon dan penyokong telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan keupayaan untuk berbeza pandangan dalam kerangka adab serta disiplin parti,” katanya yang menambah, kini tiba masanya untuk ahli parti kembali bertaut, merapatkan saf, dan memperkukuh solidariti demi mengangkat martabat PKR serta sayap parti berkenaan.-UTUSAN










