KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Nina Iskandar mengesahkan statusnya kini adalah seorang ibu tunggal setelah bercerai secara rasmi dengan bekas suaminya tahun lalu.
Nina atau nama sebenarnya NurAkmalina Iskandar berkata, dia tidak lagi tinggal sebumbung bersama bekas suaminya sejak tahun 2022, namun tidak menghebahkannya demi menjaga kedua-dua belah pihak.
“Kami telah berpisah sejak tahun lalu, tapi saya tidak mahu hebahkan kerana saya jaga dua-dua belah.
“Ketika itu juga kami sedang dalam proses penceraian dan tiada keputusan rasmi, sebab itu saya mengambil keputusan untuk berdiam diri terlebih dahulu,” katanya.
Nina menjelaskan perkara itu sewaktu pelancaran Serum Bibir Berwarna SKANDARL di Hotel St. Giles, Kuala Lumpur, hari ini.
Pelakon Andainya Takdir itu berkata, penceraian tersebut adalah disebabkan ketidaksehaluan kedua-dua belah pihak dan menginginkan yang terbaik untuk anaknya, Muhammad Aaryan Ar-Rizqin.
“Kita sudah tidak sehaluan dan fikir apa yang terbaik untuk anak kami, Rizqin. Kami tak mahu dia membesar dalam suasana rumah tangga yang dingin dan membingungkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercakap tentang kehidupannya sebagai ibu tunggal, Nina berkata walaupun perkara itu tidak mudah, dia mahu menjadi ibu yang sentiasa ada untuk anaknya.
“Kalau bapa dia di Malaysia, saya kena jadi orang yang sentiasa ada untuk Rizqin. Saya rasa bersalah kalau tinggalkan dia lama-lama,” katanya.
Jelas Nina, walaupun telah berpisah, hubungannya dengan bekas suami kekal baik demi anak mereka.
“Kami sama-sama bersetuju untuk menjaga Rizqin. Dia masih berhubung dengan ayahnya melalui panggilan video dan FaceTime,” jelas Nina.
Sementara itu, Nina berkata dia terbuka dengan gelaran “janda” selagi tidak digunakan untuk menghina atau merendahkannya.
“Saya terbuka dengan gelaran itu sekiranya mereka berfikiran terbuka, tapi kalau mereka gunakannya untuk menjatuhkan saya, itu sudah jadi cerita lain,” katanya.
Untuk rekod, Nina Iskandar berkahwin dengan suaminya, Azlan Adzanan pada 2019 dan dikurniakan seorang anak.-UTUSAN