NGO dedah pengabaian kucing di pusat perlindungan haiwan

NGO dedah pengabaian kucing di pusat perlindungan haiwan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 30 ekor kucing ditemukan mati serta dalam keadaan lemah dan kurus kering di sebuah pusat perlindungan haiwan di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Pengasas Stray Free Foundation, Ruby Rahman berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan misi menyelamat kucing-kucing berkenaan selepas menerima aduan daripada seorang sukarelawan awal bulan ini.

Jelasnya, sukarelawan itu mengesan lokasi pusat perlindungan haiwan tersebut ketika melawat rumah rakannya yang terletak di kawasan bersebelahan.

“Pengendali tempat perlindungan tersebut mengenakan bayaran RM80 bagi setiap kucing terbiar atau haiwan peliharaan yang tidak diingini sebagai ‘yuran penyerahan’ serta berjanji untuk mencarikan ‘rumah baharu’.

“Struktur tempat itu sangat daif, dengan kucing-kucing dibiarkan kelaparan dalam timbunan najis dan air kencing tanpa sebarang bekalan makanan bersih atau air minuman. Terdapat kucing yang dikurung dalam sangkar sempit selama berhari-hari, malah ada yang mati dan tubuh mereka dibiarkan membusuk tanpa diurus.

“Lebih memilukan, bangkai kucing turut ditemukan terbiar di luar pusat perlindungan tersebut, dipercayai mati akibat kelaparan dan penyakit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ruby, pihak pusat perlindungan haiwan itu mempromosikan khidmat mereka itu di media sosial dan mendapat sambutan ramai.

Dalam pada itu, katanya, struktur pusat itu sewajarnya dirobohkan berikutan pencemaran Parvovirus yang sangat serius dan tidak lagi selamat untuk mana-mana haiwan kerana risiko jangkitan yang tinggi.

“Pada 11 April lalu, seramai 10 sukarelawan termasuk dua doktor veterinar dan seorang pembantu dihantar untuk operasi menyelamat.

“Sebanyak 36 ekor kucing termasuk 10 anak kucing berjaya diselamatkan dan dihantar ke tiga klinik veterinar berbeza untuk rawatan kecemasan.

“Lebih 50 peratus daripada kucing yang diselamatkan diuji positif Parvovirus dan kini berada dalam keadaan kritikal dan bertarung nyawa di bawah rawatan,” katanya.

Tambahnya, semua kucing yang dijangkiti perlu diasingkan dan menerima rawatan intensif sekurang-kurangnya dua minggu bergantung kepada tahap ketahanan tubuh mereka.

Dalam perkembangan terkini, Ruby berkata, pihaknya menyasarakan kutipan dana baharu sebanyak RM10,500 bagi meneruskan rawatan untuk 21 ekor kucing yang masih bertahan.

Kesemua kucing berkenaan perlu terus menerima rawatan di klinik sehingga 4 Mei ini kerana belum ada seekor pun yang pulih sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya