BANDAR BARU BANGI: Bukan tidak mahu melakukan perbincangan di luar mahkamah, namun penyanyi, Zehra Zambri, tidak melihat ada kesepakatan boleh dicapai antaranya dan suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin.
Jelas Zehra, 37, berdiam diri dan berlagak bodoh adalah tindakan terbaik demi menjaga kesejahteraan mental diri dan anak perempuan tunggalnya, Zahiyah yang sedang membesar.
“Saya tidak fikir boleh bawa bincang, kalau berbincang nanti saya kena semula. Saya penat. Saya mahu jaga mental dan emosi saya, nanti saya dituduh gila dan macam-macam, saya kena semula.
“Jadi langkah yang terbaik adalah diam dan jadi bodoh. Saya juga mahu jaga mental anak saya yang dari kecil sudah dengar macam-macam dan lihat emaknya sakit.
“Saya pun mahu pulih dari trauma. Saya ingin menjadi sihat kerana seorang anak perlukan ibu yang sihat,” katanya.
Zehra ditemui Utusan Malaysia di sebutan pertama kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada Khamis.
Tambah penyanyi Semalakama itu lagi, dia tidak lagi merasakan institusi perkahwinan yang dibinanya selama tiga tahun memberikan kebahagiaan.
Oleh itu, dia berharap suaminya dapat memberikan kerjasama dan melepaskannya dengan cara terbaik.
“Jadi berilah kerjasama, itu sahaja saya harap, hari-hari saya doa kepada Allah kehidupan saya lebih baik. Inilah keputusan terbaik.
“Orang tidak tahu kerana selama ini saya pendam, sebagai manusia, kalau ada kesilapan memang kita mahu beri peluang. Namun kalau memudaratkan wajar untuk saya fikirkan diri saya dahulu.
“Tindakan ini bukan sembarangan saya buat. Sekian lama saya abaikan kesihatan saya dan utamakan orang lain. Kini, saya baca bahan-bahan memotivasikan diri dan mahu fokus cari rezeki kerana anak,” jelasnya.
Walaupun masih tinggal sebumbung, Zehra dan suami tidak bercakap dan menunjukkan kemesraan. Sebaliknya masing-masing hanya melakukan tugas sebagai ibu bapa untuk menguruskan anak yang berusia tiga tahun.
“Kami memang tinggal sekali tapi memang tidak bercakap. Kami masih duduk rumah yang sama, dia tidak mahu keluar sedangkan rumah itu rumah saya.
“Jadi, perkara ini perlu diuruskan segera sebab saya ingat selepas Gegar Vaganza saya boleh fokus kerjaya tapi perkara ini terjadi dan orang lebih pandang, membuatkan saya rasa tidak seronok.
“Saya sudah lama tinggalkan dunia seni, sekali begini pula yang jadi. Entahlah, dugaan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat meminta Zehra dan suami untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada prosiding kedua 7 Mei depan.
Pada 7 Mac, Zehra memfailkan perceraian terhadap suami Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dengan lima tuntutan iaitu tiada persefahaman, silap suami, perkahwinan tidak boleh diselamatkan, pengabaian dan suami culas melaksanakan tanggungjawab.
Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Pada perkahwinan pertama, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 dan berakhir enam bulan selepas itu.-UTUSAN