PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini memohon agar rayuan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum didengar oleh panel lima atau tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan.
Muhammad Shafee membuat permohonan itu atas alasan kes tersebut merupakan kes kepentingan awam.
Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan kemudian secara bersahaja bertanya kepada Muhammad Shafee, adakah pembelaan tidak yakin dengan panel sedia ada memandangkan kesemuanya adalah wanita.
Turut bersidang dalam panel hari ini ialah Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Muhammad Shafee menafikan perkara itu dan menyatakan permohonan dibuat berdasarkan kepentingan kes.
“Banyak keputusan yang hebat dibuat oleh hakim-hakim wanita,” tambah Muhammad Shafee.
Selepas itu, Hakim Hasnah memaklumkan, penentuan sama ada rayuan akan didengar oleh tiga atau lebih hakim akan ditentukan oleh mahkamah dan meminta pembelaan memfailkan permohonan sewajarnya.
Terdahulu, panel terbabit membenarkan permohonan Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari lalu.
Dalam kes-kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa, selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang. – UTUSAN