PETALING JAYA: Semua murid yang terjejas dalam kebakaran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak akan dipindahkan ke asrama berdekatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, buku dan kelengkapan persekolahan yang musnah akan diganti segera bagi memastikan tiada murid tercicir dalam pembelajaran.
“Saya telah meninjau sendiri keadaan blok asrama yang terbakar dan mengarahkan kerja baik pulih dimulakan segera,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Fadhlina turut lega tiada murid atau guru cedera dalam kebakaran yang berlaku malam tadi dan menegaskan bantuan segera turut diberikan kepada guru yang terjejas.
Beliau turut meminta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menyelaras segala keperluan murid dan guru terlibat.
“Saya pastikan kebajikan semua yang terkesan akan terus dijaga. Terima kasih kepada JPWPKL, bomba, JKR dan semua pihak yang membantu,” katanya.
Dalam kejadian pukul 8.43 malam semalam, sebuah blok asrama yang menempatkan 91 pelajar lelaki terbakar, namun semua pelajar selamat kerana ketika itu berada di surau sekolah.
Menurut Komander Operasi Bomba, TPgB II Japari Tajuddin, kebakaran memusnahkan 80 peratus tingkat satu bangunan asrama tersebut. – UTUSAN