MELAKA: Kerajaan negeri perlu berdaya tahan melalui perancangan strategik dan menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, jalinan itu membabitkan kerjasama utuh antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan komuniti perniagaan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan ekonomi Melaka berkembang seiring pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Saya berharap ekonomi negeri akan terus berkembang meskipun berdepan cabaran ketidakseimbangan ekonomi dunia. Pengumuman tarif baharu yang dikenakan oleh AS kepada semua negara serta kenaikan duti import ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan perlu ditangani dengan penuh iltizam.
“Saya berharap Melaka dapat menghadapi cabaran ini dengan perancangan strategik dan memupuk kerjasama erat antara kerajaan negeri, Persekutuan dan komuniti perniagaan,” katanya dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Persidangan DUN Melaka akan berlangsung selama tiga hari bermula 25, 28 dan 29 April ini.
Tambah Mohd. Ali, kerajaan negeri perlu mengekalkan momentum sedia ada susulan nilai pelaburan pada tahun lalu mencecah RM8.18 bilion.
Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan petunjuk Melaka semakin mendapat kepercayaan sebagai destinasi pelaburan strategik.
“Pelabur melihat Melaka sebagai destinasi yang berpotensi besar, memiliki infrastruktur dan sokongan yang baik serta mesra perniagaan. Saya berharap usaha berterusan dapat dilaksanakan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, berimpak tinggi selari dengan kelestarian alam sekitar dan berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN