KANGAR: Pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Persiaran Wawasan, di sini, bakal menjadi simbol kemajuan ummah dalam kerangka syariat dan melambangkan kesungguhan Perlis memartabatkan institusi agama Islam.
Masjid itu bukan sekadar rumah ibadah, namun turut berperanan sebagai pusat dakwah, pembangunan sahsiah, pendidikan Islam dan pengukuhan perpaduan ummah.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pembinaan masjid di lokasi tersebut juga dapat menampung jumlah pertambahan penduduk yang semakin meningkat di kawasan Kangar.
“Selain itu, ia dapat mempertaut hubungan antara pihak berkuasa dan pentadbiran negeri dengan masyarakat awam, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan dalam perkhidmatan kerajaan,” titah baginda pada majlis pecah tanah masjid itu, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.
Majlis yang dianjurkan itu juga merupakan antara agenda utama sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin selaku Raja Perlis dan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-82.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kewujudan masjid ini diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan sosio ekonomi setempat.
“Aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan yang dirancang secara bersepadu boleh merangsang pergerakan ekonomi komuniti setempat. Tambahan pula, masjid ini dapat menjadi pusat pembangunan ilmu yang menyuburkan budaya keilmuan dan kefahaman Islam yang sahih, berteraskan prinsip Ahlus Sunnah Waljamaah yang menjadi pegangan negeri ini,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan individu untuk terus menyokong usaha pembangunan masjid ini.
Titah baginda, sokongan tersebut adalah meliputi pelbagai aspek sama ada daripada segi kewangan, tenaga dan juga semangat. Masjid ini adalah milik ummah dan tanggungjawab memakmurkannya juga adalah milik bersama,” titah baginda. – UTUSAN