Maritim Pulau Pinang tahan kapal korek bersauh tanpa kebenaran

Maritim Pulau Pinang tahan kapal korek bersauh tanpa kebenaran

KAPAL korek yang ditahan oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang kerana bersauh tanpa kebenaran berhampiran kawasan perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang.-GAMBAR/MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tindakan sebuah kapal korek yang bersauh tanpa kebenaran di kawasan perairan Pulau Kendi dekat sini mengundang padah apabila kapal itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam satu pemeriksaan, semalam.

Difahamkan, kapal tersebut dikesan bersauh kira-kira 0.6 batu nautika dari tenggara Pulau Kendi sekitar pukul 4.30 petang sebelum diperiksa oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim, kapal korek yang membawa muatan pasir itu dikendalikan oleh lapan kru warga asing yang terdiri daripada warga Indonesia dan China, yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal berkenaan tidak memiliki kebenaran untuk bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang yang ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Razali berkata, dua daripada kru kapal yang berusia antara 35 hingga 59 tahun itu kemudian telah dibawa ke pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Dalam hal ini, Maritim Malaysia ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara, selain akan terus memperketat pengawasan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini.

“Pada masa yang sama, komuniti maritim juga diseru agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan serta kelestarian perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya