PUTRAJAYA: Peranan penting Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menjaga keselamatan perairan negara menerima pujian di luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peranan penting agensi itu seharusnya menjadi kebanggaan negara.
Beliau berkata, pujian itu diterimanya setiap kali menghadiri persidangan antarabangsa mengenai jenayah di luar negara.
“Kami berbangga kerana APMM antara agensi yang sangat penting. Setiap kali saya berpeluang menghadiri persidangan antarabangsa mengenai jenayah, antara kisah yang selalu dikongsikan oleh rakan luar adalah keupayaan APMM dalam mengawasi keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian buku Maritim Malaysia ‘Helang Samudera, Perisai Maritim Negara’ di sini, hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan buku berkenaan yang memaparkan perjalanan Maritim Malaysia sepanjang dua dekad menjaga keselamatan perairan negara.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, peranan Maritim Malaysia dalam mendepani pelbagai cabaran perlu seiring dengan keupayaan aset berteknologi canggih.
“Kerajaan sentiasa menyokong peranan agensi tersebut khususnya berkaitan perolehan-perolehan aset yang diperlukan. Ia termasuk perolehan kapal induk buatan Turkiye, Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dalam tempoh 20 bulan dari sekarang dan empat helikopter baharu.
“Wilayah laut kita yang luas sentiasa terdedah dengan pelbagai jenayah termasuk pencerobohan dan insiden penyeludupan, namun komitmen Kementerian Dalam Negeri membantu meningkatkan keupayaan aset,” katanya. – UTUSAN