KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengadakan program khas bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi menghimpunkan 87 pelajar cemerlang anak Orang Asli yang mendapat 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memberi pendedahan mengenai peluang pengajian yang boleh diambil selaras dengan minat para pelajar, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak Orang Asli.
“Mara akan menawarkan kepada semua 87 pelajar dari kalangan anak Orang Asli yang cemerlang dengan mendapat 5A ke atas dalam SPM 2024 laluan khas dengan pembiayaan penuh ke IPMa.
“Bagi pelajar-pelajar yang mendapat 9A pula akan ditawarkan untuk ke universiti-universiti terkemuka, bahkan ke luar negara di bawah Young Talent Development Programme (YTP).
“Bagi tujuan memastikan pelajar-pelajar ini mendapat pendedahan dan maklumat secukupnya mengenai peluang-peluang pengajian di peringkat tertinggi yang seiring dengan minat dan potensi mereka, Mara akan mengadakan satu program khas dengan kerjasama Jakoa untuk menghimpunkan semua 87 pelajar cemerlang ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, pelajar orang asli yang memperoleh keputusan 5A ke atas layak menerima tajaan penuh Mara untuk menyambung pengajian.
Antara institusi terlibat termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech Mara, Malaysia-German Institute serta institusi lain di bawah Mara.
Kerajaan turut memperkenalkan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) khas untuk anak-anak Orang Asli sebagai usaha memperkasa masa depan komuniti itu.