PETALING JAYA: Pertubuhan Impian Kemajuan Negara (IKN) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Yayasan Kebajikan Negara dan Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MPOWER) menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Kampung Sungai Baru yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.
Pengerusi IKN, Danial Rafiq Mohd. Pathil berkata, bekalan penting seperti mi segera, air kotak, kopi segera, biskut dan keperluan asas lain diedarkan bagi meringankan beban mangsa.
“IKN komited memberi sokongan berterusan dan memupuk perpaduan dalam menghadapi masa sukar ini, sambil mendoakan semoga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan. Kami berdiri bersama semua yang terjejas oleh tragedi ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut melawat tempat kejadian bagi menilai keadaan dan memberi sokongan kepada mangsa. – UTUSAN