PUTRAJAYA: Malaysia dan Maldives berhasrat mempelbagaikan kerjasama dalam bidang baharu termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan teknologi digital.
Dengan menyatakan kedua-dua negara sebagai negara maritim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata potensi untuk kerjasama adalah luas dan terus berkembang merentasi pelbagai sektor dalam semangat manfaat bersama.
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan, sukan dan kesihatan.
“Kini, ada bidang-bidang yang dianggap baharu yang perlu kita tingkatkan kerjasama, termasuk solar terapung, pertahanan, dan digital,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Maldives Mohamed Muizzu sempena lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.
Lawatan Muizzu ke Malaysia adalah pertama sejak menjadi presiden, November 2023 atas jemputan Anwar.
Anwar berkata, dalam bidang pendidikan kerjasama dengan Maldives termasuk program kerjasama teknikal Malaysia (MTCP) kini diperluas kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Kedua-dua pemimpin mengiktiraf potensi ekonomi masing-masing dan menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan nilai perdagangan, pelancongan dan aktiviti pelaburan.
“Para pelabur Malaysia dijemput meneroka peluang pelaburan yang luas di Maldives dan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dengan mengambil peluang melalui kempen Melawat Malaysia 2026 serta meneroka potensi meningkatkan aliran pelancongan antara kedua-dua negara termasuk dalam bidang Pelancongan Mesra Muslim dan Pelancongan Halal,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Muizzu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Maldives.
Menurut beliau, lebih 600 peluang biasiswa telah ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia kepada pelajar Maldives, sekali gus memperkaya kehidupan individu dan menyumbang kepada pembangunan negaranya.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia khususnya melalui pengaturan visa mesra pelajar seperti Visa Penjaga untuk keluarga pelajar Maldives,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra.
Sebelum itu, Anwar dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan dua pertukaran nota (EoN) yang merangkumi pelbagai sektor bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang dalam semangat manfaat bersama. – UTUSAN