PETALING JAYA: Malaysia menyatakan komitmen untuk mengurangkan keamatan karbon sehingga 45 peratus menjelang tahun 2030 selain mencapai sifar bersih karbon pada 2050.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu ditegaskan beliau semasa bersama 16 ketua negara dan kerajaan lain yang menyertai dialog maya dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, malam semalam.
“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
“Matlamat ini disokong oleh dasar yang kukuh seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelaksanaan cukai karbon bermula tahun hadapan.
“Malaysia turut menekankan kepentingan kerjasama global dan pembiayaan iklim yang adil, khususnya bagi negara membangun,” katanya menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Jelas Perdana Menteri, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga komited untuk memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh dan memperjuangkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif.
“Seterusnya meletakkan ASEAN sebagai hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, semasa sesi dialog itu, kesemua ketua negara terlibat bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam menangani perubahan iklim.
“Di samping membincangkan isu-isu berkaitan termasuk persediaan penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) yang akan datang,” katanya.