PETALING JAYA: Malaysia dan China mengulanginya sokongan kuat terhadap penyelesaian dua negara dan menyeru keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil menekankan keperluan mendesak untuk keadilan, maruah, dan keamanan bagi rakyat negara itu.
Menerusi kenyataan bersama kedua-dua negara, Malaysia dan China menyeru pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan perjanjian gencatan senjata serta mengulangi bahawa Gaza adalah sebahagian daripada wilayah Palestin yang tidak boleh dipisahkan.
“Mereka menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan dan menegaskan bahawa ‘rakyat Palestin mentadbir Palestin’ mesti kekal sebagai prinsip panduan dalam sebarang pentadbiran pasca-konflik.
“Malaysia dan China mengulangi sokongan kuat mereka terhadap penyelesaian dua negara dan menyeru keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sambil menekankan keperluan mendesak untuk keadilan, maruah, dan keamanan bagi rakyat Palestin,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar selepas Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping hari ini.
Semalam, Xi diberi sambutan negara diikuti dengan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China. Majlis itu diikuti dengan jamuan rasmi yang dianjurkan Anwar bagi meraikan kunjungan Xi. – UTUSAN