KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkannya ke Australia untuk melawat kakak yang sakit.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan itu yang tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.
Terdahulu, peguam bela, Kee Wei Lon memohon agar pasport anak guamnya dipulangkan sementara bermula hari ini sehingga 20 Mei depan.
“Kami juga ingin meletakkan syarat tambahan dengan membenarkan pemohon untuk mendapatkan dan mengembalikan pasport. Pasport itu akan dikembalikan sebelum atau semasa 20 Mei 2025,” kata peguam itu.
Sebelum ini, mahkamah juga telah beberapa kali membenarkan bekas Perdana Menteri itu mendapatkan pasport ke luar negara apabila dokumen perjalanan itu dipegang oleh mahkamah atas syarat jaminan terhadap pertuduhan beliau.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang RM200 juta.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 78, didakwa ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta.
Kesemua jumlah suapan tersebut sebanyak RM 232.5 juta diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi pihak Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu, turut berdepan dengan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Pada 28 Februari 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu. – UTUSAN