SETIAP tempat mempunyai ceritanya masing-masing. Dari bandar Chiayi yang terletak di selatan Taiwan, saya menaiki bas ke kawasan perbukitan. Menurut penduduk di sana, ada sebuah gunung yang begitu indah dipanggil Alishan, ia tempat yang tenang untuk melarikan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan. Bak kata orang muda, ia lokasi ‘healing’ paling sempurna.
Suhu ketika itu adalah 17 darjah celsius, cukup menampar membuat kaki dan tangan saya menggigil kedinginan.
Saya mengambil masa berjalan-jalan bersama seorang pemandu pelancong yang petah menerangkan kepada saya satu per satu cerita berkenaan Alishan.

Hormat kepada alam dan kehidupan
“Silakan untuk peluk pokok-pokok di sini. Tapi ingat, kamu perlu minta kebenaran dahulu kerana setiap pokok ada semangatnya masing-masing,” ujar pemandu pelancong itu.
Diceritakan pada tahun 1930-an, penduduk yang tinggal di Alishan mengalami kejadian misteri. Entah mengapa setiap kali menanak nasi, air di dalam bekas mereka akan bertukar merah seperti darah. Seolah-olah ada ‘sesuatu’ tidak senang dan marah dengan kedatangan mereka.

Oleh itu, pada 1934, mereka membuat satu ritual yang dipanggil ‘ritual semangat untuk pohon’ atau ‘The Spirit Ceremony’ bagi memberi penghormatan kepada roh 77 peneroka terdahulu. Ritual itu juga diadakan bagi menghormati lebih 100,000 pokok yang ditebang untuk kerja-kerja pembangunan.
Selepas ritual tersebut, tiada lagi kejadian nasi berdarah seperti sebelumnya.
Tasik dua beradik bertelagah
Saya sempat melintasi dua tasik, satu bersaiz kecil manakala satu lagi bersaiz besar. Dua tasik yang terpisah ini dihubungkan dengan laluan kayu pejalan kaki sepanjang 180 meter. Saya sengaja mengusik, mengatakan tasik itu memberikan aura misteri.

Rupanya, tasik tersebut juga mempunyai mitos tersendiri. Katanya ada dua orang adik-beradik perempuan bertelagah kerana menginginkan seorang jejaka yang sama. Kerana mahu berkorban demi kebahagian adik, si kakak terjun ke dalam tasik. Bukan itu sahaja, kerana si adik sedih kehilangan kakak, maka dia pun terjun ke dalam tasik.

Kereta api, nuansa retro di tengah damai hutan
Saya juga tidak melepaskan peluang menaiki kereta api lama dengan gerabak berwarna merah memberikan suasana retro kepada pengunjung. Kereta api yang dinamakan Alishan Forest Railway ini sebenarnya dibina oleh Jepun bagi memudahkan urusan pengangkutan kayu balak.

Saya difahamkan, tren ini juga sudah beroperasi sejak sebelum Subuh lagi. Mungkin anda boleh merancang perjalanan sekiranya mahu melihat matahari pagi dari pergunungan Alishan. -UTUSAN