Lemah asas Matematik punca gagal

Lemah asas Matematik punca gagal – NUTP

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan menguasai kemahiran asas Ma­tematik sejak di bangku sekolah rendah dan kura­ngnya minat, antara punca kemerosotan pencapaian subjek dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, pelajar juga terlalu bergantung kepada kalkulator, mengabaikan kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab, bahagi dan penukaran unit yang sepatutnya dikuasai sejak awal.

Katanya gagal membina asas Matematik sejak peringkat sekolah rendah menyebabkan masalah ini berlarutan ke sekolah menengah.

“Bila minat terhadap subjek ini hilang, automatik mereka tolak Matematik, bila hilang keyakinan, motivasi, minat belajar juga menurun,” kata­nya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 84,025 calon peperiksaan SPM 2024 gagal dalam subjek Matematik, iaitu antara tujuh mata pelajaran teras dalam peperiksaan itu.

Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 lalu, jumlah itu me­rangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekali gus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran diambil calon SPM.

Fouzi berkata, apabila kerajaan melaksanakan intervensi di peringkat menengah seperti di Tingkatan 3 atau 5, ia sudah terlambat kerana asas lemah sejak awal tidak dapat diperbaiki dalam masa singkat.

Beliau berkongsi pendekatannya sendiri dalam membantu anak murid dan anak­nya menguasai Matematik.

“Saya mulakan dengan soalan mudah, apabila mereka berjaya menjawab betul 47 soalan, keyakinan akan terbina. Soalan sukar kita beri sedikit demi sedikit dan bimbing mereka,” katanya.

Mengenai silibus Matematik dipertikai sesetengah pihak, Fouzi berkata, silibus bukanlah faktor utama gagal.

“Walaupun terdapat beberapa tajuk dalam silibus sukar, kebanyakan topik dalam Matematik di peringkat menengah masih berada pada tahap asas.

“Dalam teori ujian, konsep bell curve menunjukkan terdapat peluang lulus bagi keba­nyakan pelajar yang didorong oleh minat dan sokongan sewajarnya.

“Masalahnya berlaku apabila pelajar memasuki Tahun 4 dan mula berhadapan dengan pengiraan yang lebih kompleks tanpa bimbingan yang mencukupi.

“Tanpa bimbingan yang konsisten, keputusan mereka tetap rendah dan akhirnya hilang semangat. Banyak pelajar tidak mencapai markah 60 dalam peperiksaan, namun tiada intervensi awal untuk menarik minat mereka,” katanya.

Fouzi berkata, soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bertujuan mencabar minda pelajar dan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi namun ramai pelajar yang sudah bergelut dengan asas Matematik merasa kecewa apabila berhadapan de­ngan soalan yang lebih kompleks.

“Soalan KBAT untuk membezakan pelajar cemerlang dan biasa. Ia bukan soal lulus atau gagal, tetapi soal tapisan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti kejuruteraan atau perubatan,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kebanyakan pelajar mudah berputus asa apabila mendapati subjek Matematik sukar, sekali gus menyebabkan mereka hilang fokus terhadap pembelajaran.

Beliau berkata, pihak sekolah dan ibu bapa perlu memberikan perhatian yang lebih serius, termasuk mendorong mereka mengikuti kelas tui­syen sekiranya diperlukan.

“Beri perhatian serius berikutan subjek itu merupakan asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Sains Komputer, Kejuruteraan dan Perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN