IPOH: Seniwati legenda, Datin Noor Azizah Azizul Hassan sempat keluar makan bersama keluarga dan meluangkan masa menyaksikan bunga api sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam.
Menurut anak perempuan Allahyarham, Khairena Nik Hussain, 38, ibunya tidak menunjukkan sebarang petanda sehingga bapa, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, memaklumkan Noor Azizah mengalami sesak nafas pada awal pagi.
“Sebelum itu, kami sekeluarga sempat keluar makan malam bersama dan Allahyarham meluangkan masa menyaksikan bunga api di kediaman.
“Namun pagi tadi (semalam) bapa panggil saya sekitar pukul 1 pagi ketika itu ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan ibu, saya mula rasa tidak sedap hati dan terus menghubungi ambulans.
“Ketika ambulans tiba, ibu sudah tidak sedar diri dan pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Noor Azizah, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh pada pukul 2.50 petang selepas jenazah dibawa dari kediamannya di Kampung Sungai Rapat dengan menggunakan van ke Masjid Paloh untuk solat jenazah sekitar pukul 1 petang.
Lebih 100 orang terdiri dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan menghadiri pengebumian Allahyarham termasuk penyanyi terkenal era 70-an yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.
Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd. Rahman, 69, berkata, kehilangan itu amat dirasai kerana Noor Azizah dikenali keluarga sebagai seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.
Malah katanya, wanita itu juga amat pemurah dan tidak lokek memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Setiap tahun arwah akan bersedekah di mana terdapat 10 buah rumah anak-anak yatim yang akan menerima zakatnya. Di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan termasuk pendingin hawa.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah semalam ketika datang beraya di rumahnya. Ketika itu, tiada perubahan pun, dia gembira macam biasa selalu ketawa,” katanya.
Sepanjang kerjaya lakonannya, Allahyarham pernah membintangi filem Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.
Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.
Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.-UTUSAN