KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia disifatkan amat berjaya dan bersejarah dalam memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin selama 50 tahun antara kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai semasa lawatan tersebut, melibatkan pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pendidikan, teknologi hijau, ekonomi digital dan pelancongan.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dan mungkin yang tertinggi pernah dicapai.
“Ia membuktikan keyakinan China terhadap dasar dan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, lawatan Presiden China ke Malaysia detik bersejarah dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China, sekali gus membuka lebih banyak peluang strategik dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur serantau.
Berdasarkan statistik terkini, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara melebihi AS$200 bilion (RM900 bilion) pada 2024, menunjukkan betapa pentingnya hubungan itu dalam konteks ekonomi global.
Menurut Fahmi, lawatan selama tiga hari itu bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan China, tetapi turut mempererat hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin.
“Saya lihat lawatan negara ini bukan hanya sangat berjaya merapatkan hubungan dagang antara kedua-dua negara, tapi juga mengeratkan hubungan antara Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap dapat meneruskan hubungan dengan pelbagai negara yang ingin berdagang dengan kita. Sudah pasti lawatan Presiden Xi mencapai maksud itu,” katanya .
Fahmi berkata, sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam persekitaran geoekonomi global, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bakal mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat hujung bulan ini.
Jelas beliau, lawatan tersebut untuk membuka rundingan bersama pentadbiran White House berhubung isu tarif Amerika Syarikat terhadap beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia.
“Ini hasil daripada Mesyuarat Nasional Geoekonomi Command Centre yang telah diadakan pada 14 April lalu. Perbincangan ini juga susulan kesepakatan negara-negara ASEAN untuk mendepani isu tarif secara bersama dan bersepadu,” katanya. – UTUSAN