KUALA TERENGGANU: Peniaga produk vape merayu Kerajaan Negeri Terengganu melanjutkan tempoh penguatkuasaan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di negeri ini yang ditetapkan pada Ogos ini.
Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd. Kamaruzaman Mahmud berkata, tempoh tiga bulan yang diberikan sebelum pelaksanaan penguatkuasaan tersebut tidak mencukupi untuk peniaga menghabiskan stok produk vape dan mencari peluang perniagaan baharu.
Katanya, peniaga vape terlibat mendakwa keputusan penguatkuasaan larangan tersebut diumumkan secara mengejut dan terburu-buru tanpa mengadakan perbincangan awal mengenai tindakan yang diambil itu.
Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan industri itu mengalami kerugian keseluruhan daripada 169 kedai vape di seluruh Terengganu kira-kira RM5 juta sebulan.
“Peniaga produk vape memerlukan tempoh lama untuk membuat persiapan menutup perniagaan dan ceburi perniagaan atau pekerjaan baharu,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai perhimpunan aman membantah penguatkuasaan larangan penjualan produk vape di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu, Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, baru-baru ini.
Muhd. Kamaruzaman berkata, keputusan kerajan negeri itu adalah bertentangan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, iaitu akta yang sama digunakan untuk mengawal selia rokok.
Katanya, pengharaman total terhadap penjualan vape bercanggah dengan akta tersebut, yang bertujuan memperkenal kawal selia yang menyeluruh dan berkesan, bukan larangan mutlak.
“Larangan menjual vape bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan penggunaan oleh pelajar. Sebaliknya, pelaksanaan peraturan ketat seperti yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan adalah lebih praktikal dan bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN