GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kesalahan khususnya membabitkan isu salah laku seksual dalam kalangan warga pendidik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘you touch, you go’ (anda sentuh, anda keluar) seperti yang sering ditegaskannya sebelum ini dalam menangani sebarang bentuk salah laku yang melibatkan integriti dan keselamatan murid.
“Kita tidak akan berkompromi dalam apa juga kesalahan, khususnya melibatkan kesalahan seksual. ‘You touch, you go’.
“Kita akan laksanakan siasatan secara menyeluruh berpandukan kepada garis panduan serta peraturan yang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan ‘smartboard’ untuk sekolah-sekolah Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bayan Lepas di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kes membabitkan seorang guru lelaki di Johor yang direman tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan selepas disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanitanya.
Lelaki itu ditahan susulan pendedahan dibuat oleh guru wanita terbabit di sebuah sekolah menengah di Johor berhubung tingkah laku tidak senonoh oleh suspek.
Guru wanita itu juga mendakwa, dia pernah menyaksikan suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan selain menerima pautan lucah daripada lelaki terbabit.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, siasatan terhadap kes yang sedang berlangsung itu akan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kita beri ruang untuk siasatan penuh dilaksanakan. Jadi, tidak boleh buat sebarang andaian selagi siasatan belum selesai.
“Namun, segala tindakan dan arahan berkait dengan siasatan ini akan dikendalikan secara berhemah dan berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.
Jelas Fadhlina, KPM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk perilaku tidak wajar dalam kalangan warga pendidik perlu ditangani dengan tegas dan berlandaskan undang-undang.
“Penegasan ini telah pun kita buat berulang kali dan kita akan terus kekalkan ketegasan itu dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN